[ Back ]     [ Comments ]     [ Print ]

News Admin
 
Date
 07/02/2020
News Provider
 Siti Safura Masiron
News Source
 Berita Harian
Headline
 FGV untung jika Pakistan tambah import sawit


06.02.2020 (Berita Harian) - KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd boleh menjadi penerima manfaat jika bekalan minyak sawit ke Pakistan meningkat berikutan pernyataan minat daripada kerajaan Pakistan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia, kata Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa.



Beliau berkata, syarikat perladangan itu mempunyai operasi yang besar di Pakistan dan baru-baru ini, mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia meninjau pelaburan baharu di sana.



FGV, melalui anak syarikat 65 peratus miliknya, FWQ Enterprises (Private) Ltd, menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Johor Port Bhd pada 3 Januari lalu untuk membeli bersama sehingga 25 peratus pegangan dalam Fauji Akbar Portia Marine Terminal, terminal pukal kering yang beroperasi di Pelabuhan Qasim, Pakistan.



Pada 1980, kumpulan FGV memasuki pasaran minyak makan Pakistan sebagai pembekal olein sawit (minyak sawit ditapis) dan terus membekalkan produk berasaskan minyak sawit berkualiti dalam jumlah yang besar ke negara itu.



Setakat ini, FGV melabur sehingga RM98.5 juta di Pakistan, pelaburan terbesar oleh mana-mana kumpulan Malaysia.



“Eksport Malaysia pada Januari 2020 (minyak sawit) ke Pakistan lebih tinggi kepada 141,500 tan berbanding jumlah bulanan yang biasa sebanyak 90,500 tan. Tetapi persoalan sekarang ialah, adakah Pakistan akan mengekalkan pembelian pada jumlah semasa untuk mengimbangi penurunan ke India?” kata Sathia kepada Bernama.



Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, dalam mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berjanji untuk membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia bagi mengimbangi langkah pembeli utama, India yang menyekat import dari Malaysia.



Selain mengalu-alukan minat Pakistan, Sathia bagaimanapun berasa ragu-ragu sama ada negara itu, yang mempunyai 200 juta penduduk, boleh menggunakan lebih banyak minyak sawit berbanding India, yang mempunyai 1.34 bilion penduduk.



Beliau juga berkata penggunaan minyak makan oleh Pakistan adalah sekitar 4.50 juta tan setahun manakala India, sebanyak 24 juta tan.



“Oleh itu, secara keseluruhannya saya ragu-ragu Pakistan dapat mengimbangi 2.156 juta tan olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) yang hilang kepada India. Kita juga perlu ingat bahawa Indonesia mempunyai 70 peratus daripada pasaran olein di Pakistan manakala Malaysia mempunyai 30 peratus,” katanya.



Sathia mencadangkan Malaysia dan Pakistan memeterai perjanjian tarif keutamaan khas jika Malaysia meraih sebahagian daripada Indonesia.



Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir menyambut baik langkah Pakistan untuk membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia.



“Kami percaya ini susulan daripada lawatan Menteri Industri Utama, Teresa Kok ke Pakistan bulan lalu. Kami turut berharap dengan usaha kami untuk menjadikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia wajib, ia akan membuka lebih banyak pasaran untuk minyak sawit Malaysia.



“Permintaan ini akan mengekalkan harga komoditi itu pada paras yang baik yang merupakan suatu yang baik untuk kira-kira setengah juta pekebun kecil dan keluarga mereka,” katanya.



Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Kok baru-baru ini melawat Pelabuhan Qasim untuk mengukur kemajuan usaha sama antara syarikat-syarikat besar seperti FGV Holdings Bhd, IOI Corporation Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd dengan Westbury Group of Pakistan.



 



-BERNAMA



ECONOMICS & INDUSTRY DEVELOPMENT DIVISION
Malaysian Palm Oil Board ( MPOB ) Lot 6, SS6, Jalan Perbandaran, 47301 Kelana Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA.
Tel : 603 - 7802 2800 || Fax : 603 - 7803 3533